Pages

~Membiasakan yang luar biasa, Memperbetulkan yang biasa~

Bismillahirrahmanirrahim
“MEMBIASAKAN YANG LUAR BIASA
MEMPERBETULKAN YANG BIASA”

Ha! Biasa tak dengar ungkapan tersebut? Baru-baru ini ungkapan ini di utarakan oleh ayah ketika dalam perjalanan menghantar adik perempuan bongsu ku, ‘Atifah ke asramanya di Maahad Hamidiah, Kajang.

Bagi diriku, ungkapan tersebut seringkali kedengaran. Namun begitu, kali ini ungkapan itu dihuraikan dengan cara yang berlainan oleh ayah. Ayah menyesuaikan ungkapan tersebut dengan keadaan ketika itu yang mana ungkapan itu untuk dijadikan nasihat serta penenang jiwa buat adik ku yang resah kerana akan kembali berjauhan dengan keluarga.

Kerana terlalu biasa berada di rumah di samping ibu dan ayah, ketidakbiasaan berada di asrama membuatkan jiwa resah gelisah dan gundah gulana. Maka, ketika inilah peluang untuk membiasakan yang luar biasa. Bukan mudah pada usia 13 tahun untuk berdikari sendirian. Mempelajari pengawalan emosi, pembahagian masa dan membuat penilaian dalam membuat keputusan yang betul.

Keadaan dirinya mirip sekali dengan keadaan diriku yang memasuki asrama pada usia 12 tahun. Siapa sangka hanya selepas 6 bulan baru diri ini mampu untuk menyesuaikan diri. Kalau tidak, hampir setiap malam diri ini menangis meminta untuk dibawa pulang. Walhal, setiap hujung minggu pasti ibu dan ayah akan datang untuk menjengukku. Namun, ibu dan ayah tidak pernah jemu melayan kerenah kami. Sampai begitu sekali kami dimanjakan.

Namun begitu, setelah berasa selesa dan seronok di sana, amat berat sekali bagi diri ku menukar sekolah mengikut keluarga. Itu pun setelah setahun setengah. Pabila memasuki alam remaja, ia menjadi satu perkara yang biasa. Hinggakan ada antara kita yang tidak menghubungi keluarga berbulan-bulan lamanya kerana terlalu sibuk dengan hal masing-masing. Tambahan pula pabila memikirkan tidak mempunyai keperluan menghubungi mereka.

Sesungguhnya ketahuilah, ia adalah satu andaian yang silap. Meski pun ibu dan bapa kita jarang menghubungi kita, tapi ketahuilah di satu sudut di hati mereka akan merindui anak-anaknya. Dan kita sebagai anak, perlu lah sentiasa bertanya khabar. Kerana dengan itu, keberkatan Allah sentiasa bersama kita.

Mungkin ia kelihatan luar biasa bagi anak muda zaman sekarang mengambil berat ibu bapanya. Tapi ia adalah salah satu cara menggapai keredhaan Allah. Jadi mari kita biasakan apa yang luar biasa dan mengubah apa yang biasa itu..

Nasihat untuk kalian dan diri ini juga.. ^_^

0 comments:

Post a Comment